Jumaat, 8 Ogos 2008

UIAM sudah hilang identiti



Baru-baru ini masyarakat kampus UIAM telah dikejutkan dengan pengumuman pihak pentadbiran yang bakal menggantikan jubah konvokesyen UIAM daripada songkok dan tudung khas kepada topi mortar. Pengumuman mengejut, yang tidak dimaklumkan kepada warga kampus UIAM pada 24 Julai yang lepas benar-benar menimbulkan tanda-tanya dan rasa tidak puas hati di kalangan warga kampus. Pemakaian seragam baru bagi istiadat konvokesyen ini bakal dimulakan pada majlis konvokesyen, 23 Ogos ini.

Penyeragaman?
Dalam sidang akhbar yang dibuat bagi mengumumkan perubahan ini, Timbalan Rektor di Bahagian Akademik dan Kajian Prof Datuk Dr Tahir Azhar berkata perubahan ini dibuat bagi menyeragamkan etika pemakaian konvokesyen pelajar di seluruh negara. Saya memetik sedikit kenyataan yang telah dibuat oleh beliau dalam sidang akhbar tersebut:
“Ia lebih untuk meningkatkan imej UIAM serta menyelaraskan bentuk seragam hari konvokesyen secara yang lebih standard sebagaimana universiti-universiti yang ada sekarang."
“Jika graduan UIAM terus bersongkok sedangkan lain-lain universiti semua bertopi khas yang selaras tidak nampaklah keseragaman dan standard hari konvokesyen”
Utusan Malaysia, 6/8/2008
Membaca kenyataan ini, saya merasakan bahawa UIAM sudah hilang jatidiri. Adalah sesuatu yang amat mendukacitakan apabila kita malu untuk mengakui bahawa sesungguhnya kita adalah istimewa. Tidakkah pelik apabila UIAM mengambil keputusan untuk menyeragamkan pakaian konvokesyen sedangkan terlalu banyak perbezaan dan keistimewaan dimiliki universiti ini berbanding universiti lain. jika boleh diambil sedikit daripada banyak keistimewaan UIAM; pertamanya, UIAM adalah kampus yang mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris dan Arab dalam pembelajaran dan komunikasi, sedangkan kampus lain masih menggunakan bahasa kebangsaan. Kedua, UIAM selaku IPTA tidak terikat dengan AUKU,sedangkan IPTA lain terjerat dan menderita di bawah AUKU. Ketiga, UIAM selaku IPTA ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 sedangkan universiti lain ditubuhkan dibawah AUKU 1971. Seandainya kita malu untuk mengatakan kita berbeza dan istimewa, bagaimana kita mahu menjadi universiti yang terulung di kalangan IPTA lain sebagaimana termaktub dalam misi dan visi UIAM?


Dalam isu penukaran songkok dan tudung khas ini pula, saya merasakan seolah-olah UIAM tidak berbangga bahkan malu untuk menjadi istimewa. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, saya merasakan bahawa UIAM seolah-olah sudah hilang identiti dan kemegahannya. UIAM sepatutnya berbangga kerana pertama, mempunyai songkok yang menjadi ikon universiti yang kini telah berada di merata dunia dan kedua, memiliki satu-satunya kerajaan mahasiswa yang bertunjangkan Pro mahasiswa. Jika dahulu, warga kampus boleh bersatu mempertahankan pemakaian tudung khas dalam konvokesyen ketika seorang Ahli Parlimen, bekas pelajar UIAM mempertikaikan pemakaian tudung tersebut di dalam parlimen, mengapa kali ini, pihak pentadbiran begitu mudah menyerahkan identiti Universiti ini dengan beralasankan, PENYERAGAMAN?


Pembaziran
Satu lagi isu yang agak memeranjatkan saya adalah jumlah perbelanjaan unutk menggantikan pakaian konvokesyen ini. Menurut Dr Tahir:
"Perbelanjaan untuk menyediakan jubah baru ini memakan belanja RM2.1 juta, tapi ia boleh dipakai untuk 20 hingga 30 tahun lamanya"
Bernama, 24 Julai 2008
Timbul sedikit kehairanan di hati saya apabila pihak pentadbiran rela dan sanggup membelanjakan sebegitu banyak wang dalam masa-masa sebegini. Dalam satu perjumpaan di antara pemimpin pelajar bersama Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ustaz Hamidon yang berlangsung pada pertengahan Julai yang lepas, beliau ada menjelaskan bahawa UIAM kini sudah kehabisan dana apabila terpaksa dipotong kewangannya hampir RM 30 Juta oleh KPT baru-baru ini. Ketika menjawab soalan pemimpin pelajar yang hadir, yang mempersoalkan pemotongan bajet persatuan, Ustaz Hamidon berkata bahawa ia terpaksa dilakukan kerana dana bagi aktiviti pelajar telah habis. Lantas timbul persoalan, dari mana datangnya RM 2.1 Juta untuk menggantikan pakaian baru ini? Adakah wujud sebarang skandal atau perancangan yang membenarkan wang tersebut dibelanjakan sedangkan aktiviti serta kebajikan pelajar makin terabai?
Bukan itu sahaja, walaupun alasan pihak pentadbiran bahwa perbelanjaan ini dapat ditampung semula dalam tempoh beberapa tahun sahaja, dimanakah pertimbangan pihak pentadbiran apabila sanggup membelanjakan wang yang besar untuk pertukaran ini, dan seterusnya bakal membebankan bakal graduan yang terpaksa membayar jumlah yang lebih mahal, di saat kerajaan menyarankan jimat cermat dalam menghadapi krisis kenaikan harga minyak kini. Bakal graduan yang sememangnya telah terbeban kerana beban hutang PTPTN kini terpaksa menampung pula kos sewa jubah yang meningkat sekitar RM50 ini.
UIAM perlu pertahan identiti
Cukuplah dengan banyaknya kecelaruan dan perubahan yang berlaku saat ini. UIAM seakan-akan bakal hilang keizzahan dan identitinya yang tersendiri. Bermula dengan perlantikan orang-orang politik memegang jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran, budaya islamik yang makin terhakis, dan kualiti graduan yang makin merosot, UIAM harus bangkit dan melakukan perubahan. Pertahankan kewibawaan dan kemegahan universiti ini daripada sebarang anasir negatif tersebut, sebelum sibuk menukar imej yang bersifat kosmetik dan sia-sia, lebih-lebih lagi dalam menyambut ulangtahun ke 25 penubuhan UIAM pada tahun ini.

Tiada ulasan: