Rabu, 27 Ogos 2008

Selamat Hari Kebangsaan 2008 :)

Sambutan Hari Kebangsaan ke -51 pada kali ini mendatangkan pembaharuan. Setelah bertahun-tahun Pak Lah bergayut dan menumpang imej dan inspirasi Tun M dengan menyalin dan menampal (copy & paste) tema sambutan "Keranamu Malaysia", akhirnya Pak Lah mendatangkan sesuatu untuk dikenang oleh rakyat Malaysia dengan memperkenalkan tema dan logo: "Perpaduan Teras Kejayaan".


Di kaca televisyen dan corong-corong radio, iklan dan lagu sambutan hari kebangsaan sudah mula dimainkan, kononnya untuk meningkatkan sensitiviti dan kesedaran rakyat terhadap sambutan bulan kemerdekaan negara. Media cetak juga sudah mula berlumba-lumba menerbitkan artikel-artikel berkenaan kemerdekaan, insan-insan istimewa sempena kemerdekaan ini, tokoh-tokoh lampau dan sebagainya, demi menyahut kempen tersebut.

Walau bagaimanapun, mungkin sahaja kerana commercial & political value yang lebih menonjol di Permatang Pauh sepanjang minggu lepas, pemimpin, media serta rakyat malah mahasiswa sekalipun lebih tertumpu ke Permatang Pauh. Namun alhamdulillah, sudah suratan Allah S.W.T, DSAI memenangi pilihanraya kecil tersebut, mungkin kita perlu melihat dan menumpukan perhatian pula kepada sambutan hari kebangsaan ini, memandangkan sambutannya yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.


Latar Belakang sambutan Hari Kebangsaan Ke-51


Rasional Logo
- Rekabentuk logo ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”.
- 3 ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.
- 3 rupa bentuk manusia digayakan bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.
- Warna merah simbol keberanian rakyat. Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Pertuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan/keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.


LAGU: PERPADUAN TERAS KEJAYAAN
Kini Semangat Jalan Seiring
Satu Amanah Kerjasama
Jadi Teras Bangsa Mulia
Sehati Sejiwa
Bangun Membantu Agar Sepakat
Moga Terserlah Perpaduan
Agar Teguh Di persada
Dalam Hidup Harmoni
Sirami Rasa Kasih Sayang
Jadi Benteng Hidup Yang Harmoni
Nurani Ikhlas
Di hati Murni
Menjadi Kekuatan Kita
Bersatu.......Bersatu
Bersatu Gagah Bercerai Rebah
Hindarkan Hasrat Sengketa Kita
Perpaduan Teras Kejayaan
Berpadu......Berpadu
Berpadu Bulat Kata Sepakat
Menjadi Cita Negara Jaya
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan

LAGU CIPTAAN : PAK NGAH
LIRIK CIPTAAN : LOKGHA

PERPADUAN TERAS KEJAYAAN
Melihat kepada tema dan unsur-unsur sambutan hari Kebangsaan ke-51 ini, tiada langsung cacat celanya. Siapa yang mampu menafikan bahawa perpaduan adalah teras kejayaan? Malah Islam juga sentiasa mengingatkan umat manusia terutamanya orang beriman untuk bersatu padu sebagai teras kejayaan dan kebahagiaan di dunai dan akhirat. Antaranya Allah S.W.T berfirman:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Surah A-li ‘Imraan, Ayat 103)
"Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”." (Surah Hud, Ayat 119)
Ayat-ayat di atas menunjukkkan bagaimana sesungguhnya perpaduan itu adalah satu rahmat daripada Allah S.W.T. Dan seharusnya sebagai orang yang berakal dan beriman kepada-Nya, kewajipan untuk bersatu-padu demi mencapai rahmat-Nya adalah sesuatu yang patut direbut dan dicari.
Walau bagaimanapun, dalam memandang konteks sambutan hari kemerdekaan negara ini dari aspek sosio-politik negara kita, adalah menjadi satu persoalan, mengapa baru kini kerajaan memandang berat soal perpaduan ini sehingga dijadikan tema hari Kebangsaan. Semua orang maklum bahawa tema Hari Kebangsaan sesuatu tahun adalah refleksi dan manifestasi inspirasi serta aspirasi kerajaan pada tahun tersebut. Contohnya, banyak slogan serta tema Hari Kebangsaan telah dipekenalkan ketika zaman kepimpinan Tun Mahathir bagi mendoktrnkan kepada rakyat, visi dan aspirasi kerajaan ketika itu yang berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara moden. Antaranya : "Wawasan 2020"(1991), "Wawasan Asas Kemajuan"(1992, "Bersatu Menuju Wawasan"(1993). Dan setelah 51 tahun kemerdekaan negara, barulah kerajaan mulai sedar bahawa sesungguhnya Perpaduan adalah teras kemajuan??
Tsunami Politik
Mungkin ada niat dan hasrat tertentu yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu dalam memperkenalkan tema sambutan hari Kemerdekaan ke-51 ini. Setelah kekalahan mengejut kerajaan UMNO-BN dalam pilihanraya umum ke-12 Mac yang lalu, mungkin sahaja pandang sisi terhadap perpaduan sudah mula berubah dari kacamata mereka. Jika dulu, perpaduan (baca sokongan bukan Melayu) hanya dianggap sebagai memenuhi nilai dan keperluan negara semata-mata. Namun setelah pilihanraya umum ke-12, perpaduan bukan lagi satu keperluan (hajiyyah) malah mungkin saja telah menjadi kemestian (dharuriah) bagi mendapatkan semula kuasa dan sokongan politik bukan melayu terhadap UMNO-BN. Perpaduan perlu didoktrinkan supaya rakyat sedar bahawa hanya kerajaan UMNO-BN sahaja yang mampu membawa perpaduan kepada negara berbilang bangsa ini.
Apa yang pasti, jangan jadikan nikmat perpaduan kurniaan Allah ini sebagai hanya satu alat bagi memnuhi nafsu politik semata-mata. Bahkan anggaplah perpaduan khususnya di Malaysia ini sebagai satu manifestasi rahmat kurniaan Allah S.W.T

1 ulasan:

Rausyanfikir berkata...

Salam perjuangan bakal penggubal dasar negara.Jemput lawat http://sosialiskanan.blogspot.com