Sabtu, 9 Ogos 2008

Islam milik semua



Hari ini, 9 Ogos 2008 bertempat di Auditorium Majlis Peguam akan diadakan sebuah forum yang bertajuk “Conversion to Islam: Art 121(1A) of the Federal Constitution, Subashini & Shamala Revisited” (Memeluk Islam: Melihat Artikel 121(1A), Subashini & Shamala). Berikut adalah apa yang dapat saya petik daripada kenyataan atau sinopsis yang dikeluarkan oleh jawatankuasa penganjur berkaitan program tersebut:

"How should conflicts in matrimonial and family matters i.e. divorce, custody, maintenance and distribution be resolved, upon conversion to Islam of one party in a non-Muslim marriage: Ought the Civil Courts to have exclusive jurisdiction?"
Sumber:
http://www.malaysianbar.org.my/component/option,com_extcalendar/Itemid,/extmode,view/extid,454/

Setelah pihak Majlis Peguam mengambil keputusan untuk meneruskan program forum ini, pelbagai pihak baik NGO, individu dan parti politik termasuk PAS dan UMNO memberikan pelbagai reaksi yang rata-ratanya bersifat negatif. Pemimpin-pemimpin kerajaan mula bersuara membangkitkan kebimbangan bahawa forum ini bakal menyebabkan rasa tidak senang di kalangan penganut Islam di negara ini. Bahkan beberapa pertubuhan juga merancang untuk mengadakan bantahan dan rapat umum sebagai tanda protes terhadap program ini.

Berikan peluang dan ruang.




Pendapat saya, sebagai pemerhati dan orang yang mempelajari undang-undang, saya merasakan bahawa tidak sewajarnya timbul pertikaian tentang penganjuran forum berbentuk akademik yang membincangkan Islam dari kerangka undang-undang.Masalah yang berbangkit, mengikut apa yang dibangkitkan di media adalah berkaitan konflik yang timbul apabila tindakan seseorang individu memeluk agama Islam tanpa pengetahuan keluarganya dan keputusan menukar agama oleh ibu atau bapa yang sudah memeluk Islam tanpa pengetahuan pasangannya menyebabkan kekalutan dalam sistem kehakiman di Malaysia.


Sebagai seorang pelajar undang-undang, saya telah maklum bahawa sememangnya sistem kehakiman yang wujud di Malaysia pada hari ini sedikit bercelaru dalam menangani konflik dan permasalahan yang timbul akibat isu pertukaran agama (conversion). Saya tidak bermaksud bahawa undang-undang Syariah tidak relevan dalam persoalan ini, tetapi kerangka pentadbiran undang-undang Syariah di Malaysia (administration of Islamic Law) yang masih berkecamuk dan tidak terurus dalam menangani konflik yang tersebut. Seharusnya masyarakat perlu sedar bahawa pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia masih lagi belum sempurna dan banyak penambahbaikan (upgrading) serta penilaian semula (review) yang perlu dilakukan dalam mengatasi masalah-masalah berbangkit seperti murtad, penjagaan hak-hak mualaf, hak bukan muslim terhadap pasangan yang telah muslim dan sebaliknya, yang masih lagi menjadi polemik dan kerisauan di dalam masyarakat. Sebagai contoh, dalam isu murtad, kita begitu vokal dan tercabar apabila adanya kes murtad dibicarakan di mahkamah. Walau bagaimanapun, adakah kita sedar bahawa di Malaysia, hanya segelintir kecil negeri sahaja yang menggubal enakmen dan undang-undang khas bagi memantau permasalahan murtad, dari aspek pemulihan, pencegahan dan penguatkuasaan?


Seharusnya kita perlu bersabar dan mendengar dahulu pandangan serta idea yang mungkin lahir dan disumbangkan melalui dialog-dialog dan perbincangan. Seandainya kita berasa terancam dan tercabar kerana merasakan seolah-olah maruah Islam tergadai apabila sesetengah golongan membicarakan tentang Islam, bagaimana pula perasaan golongan yang sememangnya sudah lama merasakan hak mereka tergadai dan dirampas kerana kesombongan dan keangkuhan penganut Islam yang enggan mendengar dan memahami masalah serta suara hati mereka?


Islam tidak pernah menutup pintu perbincangan


Sekadar renungan, bahawa Islam tidak pernah menutup dan menyekat perbincangan serta percambahan idea asal sahaja perbincangan itu tidak membawa kepada terpesongnya aqidah dan tauhid seseorang. Malah Rasulullah S.A.W sendiri sentiasa berdebat dan berbincang dengan Yahudi dan pemuka Quraish apabila persoalan Islam dibangkitkan oleh mereka. Seandainya rasulullah telah menunjukkan contoh yang baik ini kepada kita umatnya, mengapa kita harus takut dan berpaling daripada contoh yang ditinggalkan baginda?


Walau bagaimanapun, saya tetap berharap bahawa perbincangan mengenai Islam oleh mana-mana pihak sekalipun harus berlangsung dalam keadaan yang ilmiah, intelek dan rasional dan tidak berteraskan emosi serta syak wasangka terhadap Islam. Sungguhpun Islam agama untuk seluruh alam, jangan sesekali cuba untuk memperguna-gunakan dan mempermainkan Islam.


Mudah-mudahan Allah S.W.T memberikan hidayah kepada mereka agar dapat melihat keindahan serta kemudahan Islam.

Tiada ulasan: