Sabtu, 2 Januari 2010

Penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam: Satu pandangan

Isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam, khususnya tuntutan Gereja Katholik dalam penerbitan mereka bukanlah isu baru sebenarnya. Bahkan hasil browsing yang telah dibuat menggunakan google, sebenarnya isu ini telah dibahaskan selewat-lewatnya tahun 2007.

Malah sebagai respon segera kepada keputusan mahkamah baru-baru ini, beberapa tulisan oleh ilmuwan dan sarjana islam sudah dapat dilihat di laman web antara yang menarik perhatian saya, khususnya hujah berkaitan fiqh, dapat dirujuk tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman - Larangan Kristian Guna Nama Allah : Ulasan Ringkas
http://www.zaharuddin.net/bahasa-articles/larangan-kristian-guna-nama-allah-ulasan-ringkas.html

Secara peribadi, berdasarkan pembacaan dan kefahaman saya yang cetek berkaitan perbahasan furu' dalam hal aqidah ini, saya sangat bersetuju dengan pandangan us. Zaharuddin bahawa penggunaan kalimah Allah adalah harus.
"Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam
dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang
MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :
Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88)."

Saya berpendapat bahawa rujukan dalam isu ini dapat dibuat kepada persoalan pembahagian tauhid sebagaimana diutarakan oleh Ibnu Qayyim yang mana tauhid dapat dibahaskan dari TIGA aspek: tauhid rububiyyah, tauhid uluhiyyah dan tauhid asma' wa al-sifat. Sememangnya jelas bahawa terdapat persamaan dalam konteks tauhid rububiyyah di antara Muslim dan bukan Muslim terutamanya penganut agama samawi yang lain iaitu wujudnya Tuhan yang Mencipta dan Mentadbir alam ini. Dan lebih jelas sebagaimana disebut dalam surah al-Zukhruf di atas bahawa pengiktirafan dalam konteks ini diberikan kepada hanya kepada Allah. Justeru, apa yang membezakan seorang Muslim dan bukan Muslim adalah dalam konteks tauhid uluhiyyah dan tauhid asma' wa al-sifat.

Isu Perundangan

Apa yang lebih menarik perhatian saya dalam isu ini adalah penelitian dalam aspek perundangan kerana perkara ini telah dibawa dan diputuskan oleh institusi kehakiman dan perundangan negara. Maka persoalan yang ingin saya utarakan, apakah hak perlembagaan yang dijamin kepada bukan Islam bagi menggunakan kalimah suci Allah?

Di sini saya ingin menyeneraikan beberapa peruntukan dalam undang-undang negara dan Perlembagaan Persekutuan (PP) yang mungkin relevan dalam isu ini.

Artikel 3, PP

"(1) Islam is the religion of the Federation; but other religions may be practiced in peace and harmony in any part of the Federation."

Artikel 8, PP

"(2) Except as expressly authorised by this Constitution, there shall be no discrimination against citizens on the ground only of religion, race, descent,...in any law..."

Artikel 10, PP
"(1) Subject to Clause (2),(3) and (4) - (a) every person has the right to freedom of speech and expression;...

(2) Parliament may by law impose - (a) on the rights conferred by para. (a) of Clause (1), such restriction as it deems necessary expedient in the interest of the security of the Federation,...public order or morality..."

Artikel 11, PP
"(1) Every person has the right to profess and practise his religion and subject to Clause (4) to propagate it.
(4) State law and in respect of Federal Territories of Kuala Lumpur and Putrajaya, federal law may control or restrict the propagation of any religious doctrine or belief among persons professing the religion of Islam."

Jadual Sembilan, Senarai kedua (Senarai Negeri) - kuasa legislatif negeri
"1. .....the control of of propagating doctrines and beliefs among persons professing the religion of Islam; the determination of matters of Islamic law and doctrine and Malay custom."

Artikel 160, PP
"Malay means a person who professes the religion of Islam, habitually speaks the Malay language, conforms to Malay custom..."

Berdasarkan semua peruntukan undang2 diatas, saya ingin membuat beberapa pemerhatian seperti berikut:

1. Kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam di Malaysia

Penekanan dalam perkara ini (di Malaysia) perlu diberikan kerana pada pendapat saya, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di tempat lain mungkin sahaja dibenarkan, khususnya di negara2 Arab di mana penggunaan kalimah Allah sememangnya sangat luas hatta oleh seseorang yang bukan Islam.

Saya melihat ini berdasarkan kepada Art. 3, PP bahawa Islam adalah agama Persekutuan, yang mana secara tidak langsung memberikan sedikit sebanyak hak eksklusif kepada umat Islam dalam menentukan apakah perkara yang bersangkutan dengan Islam dan sebaliknya. Dan hak ini perlu mendahului hak agama yang lain. Apabila perkara2 yang bersangkutan dengan Islam ini telah ditentukan oleh pihak berkuasa Negeri2, sebagaimana yang termaktub dalam Senarai 2, Jadual 9 PP, maka mahkamah perlu memberikan pengiktirafan undang2 (legal recognition) kepada perkara tersebut dan seterusnya menghalang sebarang tuntutan atas perkara tersebut oleh pihak lain.

Dalam hal ini, kalimah Allah, apabila sudah dituntut dan diputuskan oleh pihak berkuasa Negeri2 sebagai merujuk kepada Islam, maka seharusnya tidak ada dan tidak boleh diterima tuntutan lain daripada kelompok lain.

Selain daripada itu, merujuk kepada takrifan Melayu dalam Art. 160, PP penggunaan kalimah Allah adalah sebahagian daripada kehidupan dan budaya masyarakat melayu beragama Islam yang tidak diamalkan oleh kelompok lain. Malahan secara amnya, apabila seseorang menyebut "Allah" , khususnya oleh seorang Melayu, maka dia akan dirujuk sebagai seorang Islam. maka sangat wajar dan sewajibnya kelompok lain membuktikan bahawa kalimah Allah adalah kalimah biasa yang digunakan oleh semua orang tanpa pengecualian. Seandainya gagal, dan sememangnya akan gagal, maka mahkamah perlu mengiktiraf bahawa kalimah Allah adalah sebahagian daripada Melayu yang beragama Islam dan tidak terbuka kepada kelompok lain.

2. Penggunaan kalimah Allah oleh kelompok selain Islam melanggar hak kebebasan beragama.

Saya agak pelik, atas hak perlembagaan yang manakah yang digunakan untuk menjustifikasikan penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja? Art. 11 kah? Kes Meor Atiqul Rahman yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan secara jelas meletakkan ujian mempraktikkan agama sebagai amalan dan perkara yang fundamental dan sebahagian daripada agama tersebut. Hakim dalam kes tersebut memutuskan bahawa pemakaian serban tidak memenuhi kriteria tersebut. maka, pihak gereja perlu membuktikan penggunaan kalimah Allah adalah fundamental dalam agama mereka dan sebahagian penting bagi mereka.

Tambahan pula, secara jelas Art. 11(4) menafikan hak untuk menyebarkan agama selain Islam kepada mereka yang beragama Islam. Dan sekatan ini tidak terhad kepada proses langsung dakwah dan doktrinisasi agama selain Islam kepada orang Islam, tetapi juga apa cara sekalipun yang mampu menyampaikan mesej mereka kepada orang Islam.

Sebagaimana yang telah dijelaskan, kalimah Allah adalah sebahagian daripada kehidupan dan budaya masyarakat Mealyu Islam. Seandainya kalimah Allah digunakan bagi merujuk kepada Tuhan lain dalam agama lain, maka kekeliruan bakal wujud dan secara tidak langsung dakyah dan dakwah mereka akan sampai juga kepada masyarakat islam. Untuk itu, membenarkan kelompok lain menggunakan kalimah Allah akan hanya melanggar peruntukan kebebasan beragama di dalam Perlembagaan persekutuan.

3. Tuntutan bukan Islam menggugat ketenteraman awam

Seharusnya mahkamah melihat gambaran dan senario lebih luas sebelum membenarkan sebarang tuntutan hak oleh seseorang warganegara. Tuntutan2 ini perlu dilihat kesannya sama ada menggugat ketentaraman awam ataupun tidak. Mahkamah perlu membaca semua peruntukan dalam Bahagian 2 PP berkenaan hak-hak asasi sebagai satu. Dan secara jelas, apa2 tuntutan yang boleh mendatangkan kacau bilau, ketidak tenteraman dalam masyarakat, serta bertentangan dengan tatasusila dan moral perlu ditolak. Pengecualian dalam Art. 10 (2) dan peruntukan Art. 8(2) secara jelas menolak sebarang unsur yang disebutkan tadi.

Pihak gereja dan mahkamah perlu memahami dan mengakui bahawa berkaitan agama Islam dan aqidah umat Islam di Malaysia adalah satu isu sensitif. Sebarang usaha untuk mengganggu gugat Islam dan aqidah umatnya bisa mencetus tragedi dan kekacauan dalam masyarakat. Ini terbukti dalam kejadian rusuhan selepas keputusan Re Maria Hertough pada 1960-an yang menyaksikan aqidah seorang Islam diusik dan akhirnya meragut nyawa insan tidak berdosa ketika itu. Maka ini perlu diberikan pertimbangan sebelum mahkamah memutuskan sesuatu keputusan yang melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia.

Aspek Siyasah Syariah

Saya kira isu ini, seharusnya dan sepatutnya dilihat dari aspek Siyasah Syariah, khususnya melihat kepada waqi' dan kedudukan Islam di negara ini. Setelah dinyatakan di atas berkenaan hujah Syarie dan perundangan, saya merasakan perlu dihubung jalinkan keduanya melalui pendekatan siyasah syariah dalam menangani isu ini.

Sungguhpun saya bersetuju pada dasarnya bahawa penggunaan kalimah Allah ini harus dibenarkan kepada Bukan Islam, tetapi hakikatnya, perlu ada sekatan yang dikenakan khususnya apabila ia melibatkan penerbitan dan material2 berbentuk dakwah dan indoktrinasi agama selain Islam. Ini kerana, melihat kepada keburukan (mafsadah) yang bakal muncul seandainya perkara ini dibenarkan adalah sangat besar. Antara keburukannya:

1. Menguatkan lagi gerakan kristianisasi, Islam liberal dan doktrin2 yang lain yang sedang menantikan saat lemahnya Islam di Malaysia ini.
2. Menambahkan lagi kekeliruan dalam masyarakat islam berkaitan islam khususnya kepada saudara baru dan muda-mudi
3. Memecahbelahkan masyarakat dan mewujudkan ketegangan antara kaum dan agama di negara ini.

Sebelum itu, perlu juga dilihat bahawa mungkin wujud kebaikan dalam isu ini, antaranya:
1. Meningkatkan dan menguatkan lagi wasilah dakwah kepada bukan Islam dan kerjasama politik antara Islam dan bukan Islam. Contoh terbaik adalah toleransi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang sanggup memadamkan kalimah Allah daripada perjanjian Hudaibiyyah demi menjaga maslahah yang lebih besar.
2. Membuktikan kebenaran Islam sebagai agama yang terakhir
3. Membuka lebih banyak peluang untuk masyarakat bukan Islam memahami Islam dan budaya masyarakat Islam

Walau bagaimanapun, setelah menimbang tara, saya merasakan bahawa lebih baik andai sekatan dikenakan, bukan secara menyeluruh, tetapi hanya kepada usaha2 untuk menerbitkan dalam bentuk cetakan atau elektronik kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan dalam agama selain Islam. Ini bagi membendung dan mencegah sebarang mudharat kepada Islam dan umat Islam khususnya di Malaysia, bersesuaian dengan prinsip sad al-zarai'.

Kesimpulan

Walau apa pun natijah daripada kes ini nanti, jangan kita lupa bahawa usaha ini adalah hanya sekelumit sahaja daripada agenda besar musuh islam untuk menjatuhkan Islam. Tugas kita yang lebih besar adalah terus menggiatkan usaha dakwah, baik kepada bukan Muslim juga kepada saudara kita seMuslim. Tidak ada faedahnya seandainya kita bermatian memperjuangkan isu ini tetapi meninggalkan tugas sebenar menyebarkan kefahaman dan keindahan Islam kepada semua.

Janganlah kita mudah terjebak dengan permainan musuh2 Islam yang sentiasa mencari ruang melemahkan kita. Ingat, ini adalah salah satu alasan bagi memburukkan Islam seandainya langkah yang salah diambil oleh kita. Bila mereka menggunakan saluran yang sah melalui perundangan bagi membawa usaha mereka ini, maka kita juga perlu menumpukan usaha bagi memenangi saluran ini. Elakkan sebarang kenyataan provokatif yang boleh meregangkan kita dengan bakal2 mad'u kita.

Islam itu indah lagi mudah. Kitalah yang perlu menyerlahkan kebenarannya. Dan percayalah, janji Allah adalah pasti...Cahaya Islam PASTI akan menyinari alam.

Sekadar pandangan...wallahu'alam

1 ulasan:

sabree berkata...

saya dah bace artikel anda. Saya sangat tertarik, dan saya akan jadikan artikel ini sebagai salah satu rujukan saya di masa akan datang