Rabu, 27 Ogos 2008

Selamat Hari Kebangsaan 2008 :)

Sambutan Hari Kebangsaan ke -51 pada kali ini mendatangkan pembaharuan. Setelah bertahun-tahun Pak Lah bergayut dan menumpang imej dan inspirasi Tun M dengan menyalin dan menampal (copy & paste) tema sambutan "Keranamu Malaysia", akhirnya Pak Lah mendatangkan sesuatu untuk dikenang oleh rakyat Malaysia dengan memperkenalkan tema dan logo: "Perpaduan Teras Kejayaan".


Di kaca televisyen dan corong-corong radio, iklan dan lagu sambutan hari kebangsaan sudah mula dimainkan, kononnya untuk meningkatkan sensitiviti dan kesedaran rakyat terhadap sambutan bulan kemerdekaan negara. Media cetak juga sudah mula berlumba-lumba menerbitkan artikel-artikel berkenaan kemerdekaan, insan-insan istimewa sempena kemerdekaan ini, tokoh-tokoh lampau dan sebagainya, demi menyahut kempen tersebut.

Walau bagaimanapun, mungkin sahaja kerana commercial & political value yang lebih menonjol di Permatang Pauh sepanjang minggu lepas, pemimpin, media serta rakyat malah mahasiswa sekalipun lebih tertumpu ke Permatang Pauh. Namun alhamdulillah, sudah suratan Allah S.W.T, DSAI memenangi pilihanraya kecil tersebut, mungkin kita perlu melihat dan menumpukan perhatian pula kepada sambutan hari kebangsaan ini, memandangkan sambutannya yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.


Latar Belakang sambutan Hari Kebangsaan Ke-51


Rasional Logo
- Rekabentuk logo ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”.
- 3 ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.
- 3 rupa bentuk manusia digayakan bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.
- Warna merah simbol keberanian rakyat. Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Pertuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan/keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.


LAGU: PERPADUAN TERAS KEJAYAAN
Kini Semangat Jalan Seiring
Satu Amanah Kerjasama
Jadi Teras Bangsa Mulia
Sehati Sejiwa
Bangun Membantu Agar Sepakat
Moga Terserlah Perpaduan
Agar Teguh Di persada
Dalam Hidup Harmoni
Sirami Rasa Kasih Sayang
Jadi Benteng Hidup Yang Harmoni
Nurani Ikhlas
Di hati Murni
Menjadi Kekuatan Kita
Bersatu.......Bersatu
Bersatu Gagah Bercerai Rebah
Hindarkan Hasrat Sengketa Kita
Perpaduan Teras Kejayaan
Berpadu......Berpadu
Berpadu Bulat Kata Sepakat
Menjadi Cita Negara Jaya
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan

LAGU CIPTAAN : PAK NGAH
LIRIK CIPTAAN : LOKGHA

PERPADUAN TERAS KEJAYAAN
Melihat kepada tema dan unsur-unsur sambutan hari Kebangsaan ke-51 ini, tiada langsung cacat celanya. Siapa yang mampu menafikan bahawa perpaduan adalah teras kejayaan? Malah Islam juga sentiasa mengingatkan umat manusia terutamanya orang beriman untuk bersatu padu sebagai teras kejayaan dan kebahagiaan di dunai dan akhirat. Antaranya Allah S.W.T berfirman:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Surah A-li ‘Imraan, Ayat 103)
"Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”." (Surah Hud, Ayat 119)
Ayat-ayat di atas menunjukkkan bagaimana sesungguhnya perpaduan itu adalah satu rahmat daripada Allah S.W.T. Dan seharusnya sebagai orang yang berakal dan beriman kepada-Nya, kewajipan untuk bersatu-padu demi mencapai rahmat-Nya adalah sesuatu yang patut direbut dan dicari.
Walau bagaimanapun, dalam memandang konteks sambutan hari kemerdekaan negara ini dari aspek sosio-politik negara kita, adalah menjadi satu persoalan, mengapa baru kini kerajaan memandang berat soal perpaduan ini sehingga dijadikan tema hari Kebangsaan. Semua orang maklum bahawa tema Hari Kebangsaan sesuatu tahun adalah refleksi dan manifestasi inspirasi serta aspirasi kerajaan pada tahun tersebut. Contohnya, banyak slogan serta tema Hari Kebangsaan telah dipekenalkan ketika zaman kepimpinan Tun Mahathir bagi mendoktrnkan kepada rakyat, visi dan aspirasi kerajaan ketika itu yang berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara moden. Antaranya : "Wawasan 2020"(1991), "Wawasan Asas Kemajuan"(1992, "Bersatu Menuju Wawasan"(1993). Dan setelah 51 tahun kemerdekaan negara, barulah kerajaan mulai sedar bahawa sesungguhnya Perpaduan adalah teras kemajuan??
Tsunami Politik
Mungkin ada niat dan hasrat tertentu yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu dalam memperkenalkan tema sambutan hari Kemerdekaan ke-51 ini. Setelah kekalahan mengejut kerajaan UMNO-BN dalam pilihanraya umum ke-12 Mac yang lalu, mungkin sahaja pandang sisi terhadap perpaduan sudah mula berubah dari kacamata mereka. Jika dulu, perpaduan (baca sokongan bukan Melayu) hanya dianggap sebagai memenuhi nilai dan keperluan negara semata-mata. Namun setelah pilihanraya umum ke-12, perpaduan bukan lagi satu keperluan (hajiyyah) malah mungkin saja telah menjadi kemestian (dharuriah) bagi mendapatkan semula kuasa dan sokongan politik bukan melayu terhadap UMNO-BN. Perpaduan perlu didoktrinkan supaya rakyat sedar bahawa hanya kerajaan UMNO-BN sahaja yang mampu membawa perpaduan kepada negara berbilang bangsa ini.
Apa yang pasti, jangan jadikan nikmat perpaduan kurniaan Allah ini sebagai hanya satu alat bagi memnuhi nafsu politik semata-mata. Bahkan anggaplah perpaduan khususnya di Malaysia ini sebagai satu manifestasi rahmat kurniaan Allah S.W.T

Khamis, 21 Ogos 2008

Mahasiswa UIAM telah bersuara...SRC masih relevan!


20 Ogos 2008 - Hari ini satu lagi sejarah telah tercatat di bumi UIAM di mana mahasiswa UIAM yang cintakan kebenaran, ketelusan dan mahu kehormatan serta hak mereka dihormati, berhimpun secara aman sambil menyatakan isi hati mereka berkenaan isu jubah konvokesyen baru yang telah diperkenalkan oleh pihak pentadbiran tanpa perbincangan dengan mahasiswa, masyarakat UIAM. Dan perhimpunan ini sudah pasti tidak akan berjaya malah mungkin saja tidak mungkin berlaku tanpa usaha keras pihak SRC! Sekalung tahniah kepada pimpinan mahasiswa UIAM!
Perhimpunan yang diadakan tengahari tadi, bermula kira-kira 12pm sehingga 1.15pm telah berjaya mengumpulkan hampir kira-kira 300 orang mahasiswa dan mahasiswi UIAM yang pelbagai latar belakang dan juga dari pelbagai negara (pelajar antarabangsa). Semua yang berhimpun rata-rata mengenakan pakaian hitam/putih atau serba hitam bagi menunjukkan sokongan dan kepercayaan mereka kepada delegasi MPP UIAM yang diketuai Muhammad Adib Hatim, Presiden MPP UIAM, yang menyerahkan memorandum bantahan berkenaan isu jubah konvokesyen ini kepada pihak pentadbiran UIAM sekitar jam 12.30pm. Antara lain, di dalam memorandum bantahan ini disertakan hasil pungutan suara mahasiswa UIAM yang membantah pengenalan jubah baru ini seramai 3158 orang atau 82.97% responden dan hanya 648 orang atau 17.02% yang menyokong jubah baru ini. Dan antara tuntutan yang terkandung di dalam memorandum bantahan ini adalah supaya pihak pentadbiran mengekalkan penggunaan songkok di dalam konvokesyen serta acara rasmi universiti disamping memohon agar perbincangan diadakan bersama pemimpin pelajar sebelum sesuatu keputusan berkaitan pelajar diputuskan.

Sementara menanti delegasi MPP UIAM selesai menyerahkan memorandum bantahan ini, mahasiswa/si telah mengambil kesempatan meluahkan perasaan, pandangan serta suara mereka berkenaan isu jubah konvokesyen ini. Perhimpunan aman ini yang mendapat sokongan rata-rata persatuan pelajar di peringkat kulliyyah telah diserikan dengan ucapan penuh bersemangat daripada wakil-wakil pemimpin persatuan ini. Di antara mereka yang berucap adalah Mohd Ridhuan Bakar dan Rafidah Salleh mewakili Ma'ruf Club, Fakhrul Zaki mewakili EMSS, Ashran Hanif mewakili IRKHSS, Faridzul mewakili LAWSOC serta Helmi, mewakili ENGINIUS. Selain itu, wakil GAMIS yang juga menyertai perhimpunan itu, Helmi Qusyairi, turut sama menyatakan sokongan terhadap isu ini.



Perhimpunan aman ini tamat dengan pengumuman daripada perwakilan MPP UIAM yang telah selesai menyerahkan memorandum kepada Timbalan Rektor Akademik, Prof Dr Mohd Tahir. Walaupun respon daripada pihak pentadbiran agak kurang memuaskan, tetapi setidak-tidaknya SRC telah membuktikan kepada mahasiswa/si UIAM bahawa kewujudan dan kehadiran mereka masih relevan dan berguna kepada masyarakat kampus. Dan apa yang lebih penting adalah, mahasiswa/si UIAM dapat menyatakan hak mereka yang perlu diambil berat dan dipandang serius oleh pihak pentadbiran.



Semoga laungan STUDENTS' POWER! akan terus kedengaran di bumi UIAM dengan wujudnya SRC Pro-M!

Rabu, 13 Ogos 2008

Caj PTPTN turun 1%...ilusi atau realiti?

Saya agak teruja apabila membaca portal akhbar pada petang ini:

Caj perkhidmatan PTPTN turun kepada 1 peratus - 13/08/2008, 4:29pm

PUTRAJAYA 13 Ogos - Kadar caj perkhidmatan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) diturunkan kepada satu peratus berbanding tiga peratus sebelum ini, berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini hari ini. - Utusan

Kadar pinjaman PTPTN hanya 1 peratus mulai 1 Jun lalu - 13/8/200, 16:16

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan kadar baru pengiraan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) ialah satu peratus mulai 1 Jun lalu. Mengumumkan demikian, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kadar satu peratus itu adalah kadar rata ke atas semua pinjaman peringkat pengajian. Katanya, ia membabitkan semua bakal peminjam, peminjam sedia ada dan peminjam yang sudah tamat belajar tetapi belum selesaikan pinjaman.
Cuba bandingkan pula dengan pengumuman saya kira baru-baru sahaja dibuat oleh pihak PTPTN:
"Mulai Jun 2008, PTPTN telah menyelaras semula potongan insurans atas kadar premium baru. Semua peminjam sedia ada dikenakan potongan insurans bagi melindungi pinjaman dengan mengambilkira tempoh pengajian lazim dan tempoh bayaran balik pinjaman. Potongan insurans dilakukan pada setiap semester pengajian semasa pengeluaran pinjaman dikeluarkan. Jumlah potongan insurans dikenakan adalah atas kadar RM0.96 bagi setiap pinjaman RM1,000. Bagi peminjam yang mana potongan insurans sebelum ini jumlahnya kurang akan diselaraskan dan dibuat potongan tambahan."
Saya sebenarnya amat teruja bercampur seribu tanda tanya tentang penurunan kadar PTPTN kepada 1% ini atas beberapa sebab:
1. Adakah ini sebagai satu gula-gula kepada mahasiswa yang kini, di seantero Malaysia sedang naik angin dengan kehilangan wang-wang pinjaman mereka? Pergi ke Bahagian Kewangan Universiti, mereka minta dirujuk ke PTPTN, mahu rujuk ke PTPTN, tidak dilayan dan sebagainya. Hingga akhirnya mahasiswa naik minyak dan tunjuk perasaan, barulah kenyataan keluar dan sebagainya:
1,000 pelajar kolej berang - Potongan luar biasa pinjaman PTPTN tanpa pengetahuan - kosmo! online, 13/8/2008

KAJANG - Gara-gara terkejut dengan potongan luar biasa terhadap pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), lebih 1,000 pelajar Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill di sini, berang sehingga menimbulkan suasana kecoh di kolej berkenaan.
Lebih memburukkan keadaan, sebahagian besar pelajar terbabit menyangka kekurangan jumlah wang yang masuk ke akaun mereka berpunca daripada kegiatan penyelewengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ekoran itu, mereka bertindak berkumpul beramai-ramai sejak pagi hingga lewat petang semalam dan mendesak pihak pengurusan kolej memberi penjelasan berhubung 'kehilangan duit' mereka itu sehingga memaksa pihak kolej memanggil pihak polis.
Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Yusri berkata, kebanyakan pelajar tertekan kerana elaun dipotong untuk bayaran insurans pinjaman tanpa sebarang pemberitahuan daripada pihak kolej atau PTPTN.
"Kesannya, saya yang sepatutnya mendapat RM750 untuk perbelanjaan bagi setiap semester cuma dapat tidak sampai RM50, malah ada di antara rakan-rakan yang mempunyai baki antara RM10 hingga RM20 saja.
"Jika keadaan itu berterusan, para pelajar yang rata-ratanya bergantung kepada wang tersebut untuk menyara kos sara hidup akan menghadapi masalah kewangan serius," ujar beliau ketika ditemui di kolej berkenaan.
2. Adakah pihak PTPTN telah mendapat jalan baru untuk menyamun mahasiswa dengan memperkenalkan skim penyelarasan potongan insuran, sebagai menampung kerugian daripada penurunan kadar ini? Rata-rata pelajar tidak menyedari bahawa di dalam perjanjian yang ditandatangani mereka, terdapatnya klausa yang mengatakan bahawa mereka akan dikenakan insurans yang akan dipotong melalui pinjaman mereka. Malahan saya sendiri sebagai pelajar tahun akhir, semester akhir, sudah kehilangan hampir RM200 yang menurut pihak kewangan UIAM, mungkin disebabkan pemotongan insurans ini. Akhirnya, mahasiswa yang menjadi mangsa. Apakah manfaatnya pinjaman bernilai ribuan ringgit, walhal yang boleh digunakan hanya beberapa ratus ringgit?
3. Adakah ini satu gimik politik untuk meraih sokongan mahasiswa kepada KPT, seolah-olah kerajaan telah berjaya mengatasi masalah mereka? Dalam senario politik negara yang tidak stabil sekarang, ditambah dengan hampirnya pilihanraya kampus yang bakal berlangsung dalam semester ini, mungkin sahaja pihak KPT sedang memancing mahasiswa, untuk mendapatkan kepercayaan dan perhatian mahasiswa?
Walau bagaimanpun, saya amat berharap bahawa penurunan kadar caj ini adalah berdasarkan nilai dan rasa tanggungjawab kerajaan dalam membantu mahasiswa dan tidak sebagai satu ilusi untuk menipu dan membeli mahasiswa.
Hidup mahasiswa..hidup negara!

Sabtu, 9 Ogos 2008

Islam milik semua



Hari ini, 9 Ogos 2008 bertempat di Auditorium Majlis Peguam akan diadakan sebuah forum yang bertajuk “Conversion to Islam: Art 121(1A) of the Federal Constitution, Subashini & Shamala Revisited” (Memeluk Islam: Melihat Artikel 121(1A), Subashini & Shamala). Berikut adalah apa yang dapat saya petik daripada kenyataan atau sinopsis yang dikeluarkan oleh jawatankuasa penganjur berkaitan program tersebut:

"How should conflicts in matrimonial and family matters i.e. divorce, custody, maintenance and distribution be resolved, upon conversion to Islam of one party in a non-Muslim marriage: Ought the Civil Courts to have exclusive jurisdiction?"
Sumber:
http://www.malaysianbar.org.my/component/option,com_extcalendar/Itemid,/extmode,view/extid,454/

Setelah pihak Majlis Peguam mengambil keputusan untuk meneruskan program forum ini, pelbagai pihak baik NGO, individu dan parti politik termasuk PAS dan UMNO memberikan pelbagai reaksi yang rata-ratanya bersifat negatif. Pemimpin-pemimpin kerajaan mula bersuara membangkitkan kebimbangan bahawa forum ini bakal menyebabkan rasa tidak senang di kalangan penganut Islam di negara ini. Bahkan beberapa pertubuhan juga merancang untuk mengadakan bantahan dan rapat umum sebagai tanda protes terhadap program ini.

Berikan peluang dan ruang.




Pendapat saya, sebagai pemerhati dan orang yang mempelajari undang-undang, saya merasakan bahawa tidak sewajarnya timbul pertikaian tentang penganjuran forum berbentuk akademik yang membincangkan Islam dari kerangka undang-undang.Masalah yang berbangkit, mengikut apa yang dibangkitkan di media adalah berkaitan konflik yang timbul apabila tindakan seseorang individu memeluk agama Islam tanpa pengetahuan keluarganya dan keputusan menukar agama oleh ibu atau bapa yang sudah memeluk Islam tanpa pengetahuan pasangannya menyebabkan kekalutan dalam sistem kehakiman di Malaysia.


Sebagai seorang pelajar undang-undang, saya telah maklum bahawa sememangnya sistem kehakiman yang wujud di Malaysia pada hari ini sedikit bercelaru dalam menangani konflik dan permasalahan yang timbul akibat isu pertukaran agama (conversion). Saya tidak bermaksud bahawa undang-undang Syariah tidak relevan dalam persoalan ini, tetapi kerangka pentadbiran undang-undang Syariah di Malaysia (administration of Islamic Law) yang masih berkecamuk dan tidak terurus dalam menangani konflik yang tersebut. Seharusnya masyarakat perlu sedar bahawa pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia masih lagi belum sempurna dan banyak penambahbaikan (upgrading) serta penilaian semula (review) yang perlu dilakukan dalam mengatasi masalah-masalah berbangkit seperti murtad, penjagaan hak-hak mualaf, hak bukan muslim terhadap pasangan yang telah muslim dan sebaliknya, yang masih lagi menjadi polemik dan kerisauan di dalam masyarakat. Sebagai contoh, dalam isu murtad, kita begitu vokal dan tercabar apabila adanya kes murtad dibicarakan di mahkamah. Walau bagaimanapun, adakah kita sedar bahawa di Malaysia, hanya segelintir kecil negeri sahaja yang menggubal enakmen dan undang-undang khas bagi memantau permasalahan murtad, dari aspek pemulihan, pencegahan dan penguatkuasaan?


Seharusnya kita perlu bersabar dan mendengar dahulu pandangan serta idea yang mungkin lahir dan disumbangkan melalui dialog-dialog dan perbincangan. Seandainya kita berasa terancam dan tercabar kerana merasakan seolah-olah maruah Islam tergadai apabila sesetengah golongan membicarakan tentang Islam, bagaimana pula perasaan golongan yang sememangnya sudah lama merasakan hak mereka tergadai dan dirampas kerana kesombongan dan keangkuhan penganut Islam yang enggan mendengar dan memahami masalah serta suara hati mereka?


Islam tidak pernah menutup pintu perbincangan


Sekadar renungan, bahawa Islam tidak pernah menutup dan menyekat perbincangan serta percambahan idea asal sahaja perbincangan itu tidak membawa kepada terpesongnya aqidah dan tauhid seseorang. Malah Rasulullah S.A.W sendiri sentiasa berdebat dan berbincang dengan Yahudi dan pemuka Quraish apabila persoalan Islam dibangkitkan oleh mereka. Seandainya rasulullah telah menunjukkan contoh yang baik ini kepada kita umatnya, mengapa kita harus takut dan berpaling daripada contoh yang ditinggalkan baginda?


Walau bagaimanapun, saya tetap berharap bahawa perbincangan mengenai Islam oleh mana-mana pihak sekalipun harus berlangsung dalam keadaan yang ilmiah, intelek dan rasional dan tidak berteraskan emosi serta syak wasangka terhadap Islam. Sungguhpun Islam agama untuk seluruh alam, jangan sesekali cuba untuk memperguna-gunakan dan mempermainkan Islam.


Mudah-mudahan Allah S.W.T memberikan hidayah kepada mereka agar dapat melihat keindahan serta kemudahan Islam.

Jumaat, 8 Ogos 2008

UIAM sudah hilang identiti



Baru-baru ini masyarakat kampus UIAM telah dikejutkan dengan pengumuman pihak pentadbiran yang bakal menggantikan jubah konvokesyen UIAM daripada songkok dan tudung khas kepada topi mortar. Pengumuman mengejut, yang tidak dimaklumkan kepada warga kampus UIAM pada 24 Julai yang lepas benar-benar menimbulkan tanda-tanya dan rasa tidak puas hati di kalangan warga kampus. Pemakaian seragam baru bagi istiadat konvokesyen ini bakal dimulakan pada majlis konvokesyen, 23 Ogos ini.

Penyeragaman?
Dalam sidang akhbar yang dibuat bagi mengumumkan perubahan ini, Timbalan Rektor di Bahagian Akademik dan Kajian Prof Datuk Dr Tahir Azhar berkata perubahan ini dibuat bagi menyeragamkan etika pemakaian konvokesyen pelajar di seluruh negara. Saya memetik sedikit kenyataan yang telah dibuat oleh beliau dalam sidang akhbar tersebut:
“Ia lebih untuk meningkatkan imej UIAM serta menyelaraskan bentuk seragam hari konvokesyen secara yang lebih standard sebagaimana universiti-universiti yang ada sekarang."
“Jika graduan UIAM terus bersongkok sedangkan lain-lain universiti semua bertopi khas yang selaras tidak nampaklah keseragaman dan standard hari konvokesyen”
Utusan Malaysia, 6/8/2008
Membaca kenyataan ini, saya merasakan bahawa UIAM sudah hilang jatidiri. Adalah sesuatu yang amat mendukacitakan apabila kita malu untuk mengakui bahawa sesungguhnya kita adalah istimewa. Tidakkah pelik apabila UIAM mengambil keputusan untuk menyeragamkan pakaian konvokesyen sedangkan terlalu banyak perbezaan dan keistimewaan dimiliki universiti ini berbanding universiti lain. jika boleh diambil sedikit daripada banyak keistimewaan UIAM; pertamanya, UIAM adalah kampus yang mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris dan Arab dalam pembelajaran dan komunikasi, sedangkan kampus lain masih menggunakan bahasa kebangsaan. Kedua, UIAM selaku IPTA tidak terikat dengan AUKU,sedangkan IPTA lain terjerat dan menderita di bawah AUKU. Ketiga, UIAM selaku IPTA ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 sedangkan universiti lain ditubuhkan dibawah AUKU 1971. Seandainya kita malu untuk mengatakan kita berbeza dan istimewa, bagaimana kita mahu menjadi universiti yang terulung di kalangan IPTA lain sebagaimana termaktub dalam misi dan visi UIAM?


Dalam isu penukaran songkok dan tudung khas ini pula, saya merasakan seolah-olah UIAM tidak berbangga bahkan malu untuk menjadi istimewa. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, saya merasakan bahawa UIAM seolah-olah sudah hilang identiti dan kemegahannya. UIAM sepatutnya berbangga kerana pertama, mempunyai songkok yang menjadi ikon universiti yang kini telah berada di merata dunia dan kedua, memiliki satu-satunya kerajaan mahasiswa yang bertunjangkan Pro mahasiswa. Jika dahulu, warga kampus boleh bersatu mempertahankan pemakaian tudung khas dalam konvokesyen ketika seorang Ahli Parlimen, bekas pelajar UIAM mempertikaikan pemakaian tudung tersebut di dalam parlimen, mengapa kali ini, pihak pentadbiran begitu mudah menyerahkan identiti Universiti ini dengan beralasankan, PENYERAGAMAN?


Pembaziran
Satu lagi isu yang agak memeranjatkan saya adalah jumlah perbelanjaan unutk menggantikan pakaian konvokesyen ini. Menurut Dr Tahir:
"Perbelanjaan untuk menyediakan jubah baru ini memakan belanja RM2.1 juta, tapi ia boleh dipakai untuk 20 hingga 30 tahun lamanya"
Bernama, 24 Julai 2008
Timbul sedikit kehairanan di hati saya apabila pihak pentadbiran rela dan sanggup membelanjakan sebegitu banyak wang dalam masa-masa sebegini. Dalam satu perjumpaan di antara pemimpin pelajar bersama Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ustaz Hamidon yang berlangsung pada pertengahan Julai yang lepas, beliau ada menjelaskan bahawa UIAM kini sudah kehabisan dana apabila terpaksa dipotong kewangannya hampir RM 30 Juta oleh KPT baru-baru ini. Ketika menjawab soalan pemimpin pelajar yang hadir, yang mempersoalkan pemotongan bajet persatuan, Ustaz Hamidon berkata bahawa ia terpaksa dilakukan kerana dana bagi aktiviti pelajar telah habis. Lantas timbul persoalan, dari mana datangnya RM 2.1 Juta untuk menggantikan pakaian baru ini? Adakah wujud sebarang skandal atau perancangan yang membenarkan wang tersebut dibelanjakan sedangkan aktiviti serta kebajikan pelajar makin terabai?
Bukan itu sahaja, walaupun alasan pihak pentadbiran bahwa perbelanjaan ini dapat ditampung semula dalam tempoh beberapa tahun sahaja, dimanakah pertimbangan pihak pentadbiran apabila sanggup membelanjakan wang yang besar untuk pertukaran ini, dan seterusnya bakal membebankan bakal graduan yang terpaksa membayar jumlah yang lebih mahal, di saat kerajaan menyarankan jimat cermat dalam menghadapi krisis kenaikan harga minyak kini. Bakal graduan yang sememangnya telah terbeban kerana beban hutang PTPTN kini terpaksa menampung pula kos sewa jubah yang meningkat sekitar RM50 ini.
UIAM perlu pertahan identiti
Cukuplah dengan banyaknya kecelaruan dan perubahan yang berlaku saat ini. UIAM seakan-akan bakal hilang keizzahan dan identitinya yang tersendiri. Bermula dengan perlantikan orang-orang politik memegang jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran, budaya islamik yang makin terhakis, dan kualiti graduan yang makin merosot, UIAM harus bangkit dan melakukan perubahan. Pertahankan kewibawaan dan kemegahan universiti ini daripada sebarang anasir negatif tersebut, sebelum sibuk menukar imej yang bersifat kosmetik dan sia-sia, lebih-lebih lagi dalam menyambut ulangtahun ke 25 penubuhan UIAM pada tahun ini.

Semoga Cahaya-Nya terus bersinar

Alhamdulillah...dalam kelam malam yang sunyi sepi ini, aku bawakan diriku ke alam maya ini...semoga diriku terus disinari dengan cahaya iman dan mampu untuk ku terangi hati-hati insan lain. Hidup demi Islam selamanya....